Individu yang gagal membuat pinjaman daripada perbankan dan institusi kewangan lain dengan alasan nama disenaraihitamkan (blacklist) CTOS dan CCRIS dinasihatkan menggunakan saluran yang betul untuk membuat semakan status bagi mengetahui sama ada benar-benar terlibat dengan masalah berkenaan.
Apa yang kami lihat di internet ramai individu menggunakan ruangan komen di blog tertentu yang memberi info semakan CTOS dan CCRIS dengan mendedahkan maklumat peribadi mereka seperti no kad pengenalan.
Sebagai peringatan, tindakan itu adalah kurang bijak kerana pihak atau admin blog itu tidak dapat membantu anda bagi membuat semakan laporan kredit sama ada nama anda sebagai peminjam atau penjamin di senaraihitamkan melainkan anda sendiri yang berusaha untuk berhubung dengan pihak atau agensi terlibat melalui saluran yang betul.
Sekiranya anda memberikan butiran penting identiti, contohnya seperti nama penuh, alamat, no telefon, atau no kad pengenalan di ruang komen tersebut, secara tidak langsung ia terdedah kepada umum dan akan membuka peluang pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan butiran peribadi dengan mengambil kesempatan terhadap masalah yang dihadapi oleh anda.
Terdapat beberapa kes, dimana ada pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab akan tampil mengambil kesempatan kononnya bagi menolong menyelesaikan masalah dengan mengenakan bayaran tertentu malah ada yang akan menghantar SMS bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka yang menghadapi masalah ini.
Dari mana mereka mendapat butiran maklumat untuk menghubungi anda?, salah satunya adalah daripada sikap ambil mudah anda dengan mendedahkan maklumat tersebut seperti yang kami nyatakan sebelum ini.
Sehubungan dengan itu, anda dinasihatkan berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul untuk tujuan tersebut.

