Thursday 27 August 2015

SKMM sekat laman promo Bersih 4.0




Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyekat laman-laman portal yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke perhimpunan Bersih 4.0, akhir bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM hari ini, langkah tersebut adalah lanjutan daripada kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.


"Bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan," kata SKMM dalam satu kenyataan.

SKMM juga berkata laman-laman seumpamanya menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan.

"Menerusi pelbagai kegiatannya telah memberi kesan buruk kepada imej Negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan Negara, malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

"Sehubungan itu, SKMM ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat dilaman-laman sesawang dan media sosial, terutamanya kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang Malaysia," kata kenyataan tersebut.

Sebarang maklumat mengenai mana-mana laman sesawang dan media sosial yang dipercayai menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi boleh dimajukan kepada pihak MCMC di aduanskmm@cmc.gov.my.‎



SUMBER : Sinar Harian

No comments :

Post a Comment