Kematian Robin Williams, dipercayai akibat bunuh diri selepas bergelut masalah kemurungan, disahkan oleh isterinya, Susan Schneider.
Pemenang anugerah Oscar itu yang berusia 63 tahun ditemui mati sebelum tengah hari di rumahnya di Tiburon, California Utara, menurut pihak polis.
Jabatan Polis California memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan 911 pada pukul 11.55 pagi waktu tempatan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di kediamannya dan satu pasukan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba jam 12 tengah hari.
Mangsa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Robin McLaurin Williams disahkan meninggal dunia pada 12.02 petang.
Susulan itu, satu siasatan menyeluruh berhubung kematian Williams sedang dijalankan.
Dia selama ini bergelut dengan ketagihan alkohol dan dadah sejak lewat 1970-an dan awal 1980-an.
Williams pernah memenangi tiga anugerah Golden Globes untuk filem Good Morning, Vietnam, Mrs. Doubtfire dan ’The Fisher King.
Williams terkenal dengan filem komedi dan mula dikenali pada lewat 1970-an selepas muncul sebagai makhluk asing dalam rancangan TV ‘Mork and Mindy.
Dua minggu lalu, Williams memuat naik gambarnya bersama anak perempuannya dalam keadaan gembira menerusi akaun instragramnya.
Menjadi salah seorang penghibur paling dicintai di AS ketika generasinya, Williams sangat terkenal menerusi sitkom terkenal, Mork & Mindy.
UPDATE (13/8/2014)
Gantung Diri Dengan Tali Pinggang
Pihak berkuasa mengesahkan pelakon komedi, Robin Williams menggantung dirinya sendiri dengan tali pinggang di dalam bilik di rumahnya.
Sherif Marin County, Leftenan Keith Boyd berkata, Williams dilihat buat kali terakhir oleh isterinya pada malam Ahad lalu ketika hendak tidur.
Beliau bangun pada pagi berikutnya dan meninggalkan rumah, menyangka yang Williams masih tidur.
Tidak lama kemudian, pembantu peribadi Williams mengunjungi rumahnya dan berasa bimbang apabila Williams tidak memberi sebarang tindak balas ketika dia mengetuk pintu.
Pembantu peribadinya menemui pelakon berusia 63 tahun itu mati di bilik tidurnya.
Boyd berkata semua bukti menjurus kepada perbuatan bunuh diri. Namun katanya, keputusan muktamad akan dibuat selepas mendapat laporan forensik dan temu ramah dengan saksi.
-mStar-
No comments :
Post a Comment