Thursday 14 August 2014

MH17: 22 Ogos Hari Berkabung Negara; Tiada Cuti Umum

MH17 : 22 Ogos Hari Berkabung Negara; Tiada Cuti Umum

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos (Jumaat) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine. Beliau berkata satu istiadat penghormatan jenazah tragedi itu akan diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan ketibaan 16 jenazah tragedi itu termasuk seorang bukan warga negara Malaysia. 

Katanya jenazah itu akan dibawa melalui sebuah pesawat khas dari Amsterdam yang dijangka tiba di KLIA pada 10 pagi. "Upacara penghormatan untuk jenazah dibuat secara tertib, sesuai dengan penghormatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi pesawat MH17. 

Muhyiddin berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat ke istiadat tersebut, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri serta keluarga mangsa. Muhyiddin berkata tiada cuti umum sempena hari berkabung negara tersebut.

No comments :

Post a Comment