Tidak banyak novel melayu terbitan baru yang menyamai semangat novel melayu yang ditulis oleh sasterawan dan enthusiasts bangsa dan bahasa.
Kebanyakkan novel melayu tidak lagi diterbitkan setelah habis cetakan. Institut seperti DBP dan ITBM mempunyai sebilangan besar jumlah novel-novel ini, tetapi tidak ramai yang mengetahui kewujudan novel melayu berkualiti ini . Tidak dilupakan, penerbit indie seperti Dubokpress juga ada menerbitkan novel melayu berkualiti tinggi, selain buku bukan-fiksyen yang banyak menyentuh isu kemasyarakatan dan kritis sosial.
Listopia 100 Novel Melayu Yang Mesti Di Baca, adalah permulaan yang baik untuk mencari semula karya karya emas ini. Kombinasi penulis lama dan baru, mereka sama sama merancakkan lagi dunia novel melayu berkualiti yang pernah kita nikmati dulu.
#1 : KUNANG PESISIR MORTEN – RAIHA BAHAUDIN
Kampung Morten 1984. Dengan sebatang sungai kotor bukan saja dipenuhi dengan sampah sarap dan ketam lumpur Uca Annulipes. Juga telah menjadi garis ghaib pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Sehinggalah keajaiban berlaku dengan kehadiran seorang budak perempuan sembilan tahun comotnya ya ampun berambut gerbang.
Dhiya; seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim meneroka kota Melaka, menjadi usahawan kecil, menerokai dunia lukisan Monet juga menjejak pencuri berkaki ghaib. Dan tanpa mereka sedari, sedikit demi sedikit perkara- perkara kecil yang mereka lakukan telah menaut jurang tebing antara dua bangsa.
#2 : BAGAIKAN PUTERI – RAMLEE AWANG MURSHID
Haryani dan Laksamana Sunan… saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza. Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam. Dani… pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati.
Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati! Kisah penuh konflik, tragedi, pengembaraan, mistik dan magik. Hanya kerana cinta… manusia sanggup berperang!
#3: SUNAN NAGGROE SANG KEMBARA – RAMLEE AWANG MURSHID
DEK kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri, Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah – Aceh. Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni persilatan.
Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang persilatan.
Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu tujuan – Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi.
Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya.
#4: DUBLIN – WAN NOR AZRIQ
“Dublin. Saya selalu merasakan ia adalah tempat bermula dan berakhir semua tradisi kesusasteraan. Bagaikan sebuah dunia di dalam dunia ini. “
Maka, di dalam diari seorang pengarang uzur bernama Encik H, kita turut menemui sebuah cerita di dalam cerita. Bermula dengan ucapannya di kedutaan Ireland yang mendedahkan tradisi berjalan kaki sebagai suatu seni penulisan, dia kemudian membawa kita ke tengah konflik antara dirinya dengan pembantu penyelidik bernama Anita. Hubungan antara Encik H dan Anita bakal menentukan kesudahan kepada konspirasi perisikan D.U.B.L.I.N dan mungkin menyelamatkan Encik H daripada kehancuran.
#5: AH FOOK – JONG CHIAN LAI
Novel Ah Fook menceritakan kehidupan seorang lelaki Cina yang dihimpit kemiskinan sejak tiga generasi di negara Tembok Besar. Yong Ah Fook, atau lebih dikenali sebagai Ah Fook yang kecewa dengan sistem komunisme China, Merantau ke kepulauan Borneo dengan meninggalkan isteri dan dua orang anaknya di kampung semata-mata untuk meraih kekayaan di bumi asing. Dia bekerja sebagai kuli di sebuah rumah agam milik seorang kapitan Cina sebaik-baik tiba di Sarawak.
Bagaimanapun, takdir membantutkan impiannya apabila Jepun meluaskan kuasa di Asia Tenggara tidak lama selepas dia berada di Sarawak. Ah Fook terpaksa berkahwin dengan seorang wanita tempatan berketurunan Cina- Melanau demi menyelamatkan wanita itu daripada kekejaman tentera Jepun. Ah Fook juga berbuat demikian untuk melupakan anak-anak dan isterinya di China yang sudah berkahwin dengan seorang lelaki lain ekoran kesempitan hidup selepas ditanggalkan Ah Fook
#6: EMBARGO – ZAHARI AFFANDI
YB Datuk Alang Bahadur dalam perancangan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik. Ketika berusaha untuk mempertahankan kedudukannya itu, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam parti dan keluarganya. Dalam parti, beliau berhadapan dengan pengikutnya yang hendak mengambil kesempatan. Dalam keluarga pula, anak lelakinya telah terpengaruh oleh fahaman pluralisme dan liberalisme. Anak perempuan beliau terlibat dalam gerakan militan Islamic State (IS). Kisah lampaunya mengambil perempuan penghibur di pusat dangdut sebagai isteri pula telah dimanipulasikan oleh musuh politiknya.
#7: LANGIT PETANG – A. SAMAD SAID
Pak Ariff seorang bekas pejuang kemerdekaan. Beliau cukup bersyukur kerana masih dapat bernafas di atas bumi merdeka meskipun beliau tidak mendapat penghargaan atas pejuangannya dulu.
Hafiz pula bekas wartawan. Dia berhenti kerana menghidap penyakit kronik. Dia mengembara ke Pantai Timur untuk menikmati keindahan alam dan mencari ilham untuk karyanya. Zakiah pula seorang wanita yang berdendam dengan lelaki kerana kejadian waktu silamnya.
Dan mereka bertiga hidup berjiran. Mereka bertukar pandangan dan falsafah mengenai apa yang dicari manusia dalam hidup mereka.
#8: 7 KETURUNAN – A RAZAK ADAM
Kuasa asing silih berganti datang menorah. Kemakmuran di tanah warisan leluhur dibongkar dan diangkut ke bumi asing. Ada anak watan yang bangkit menuntut hak. Kemerdekaan tidak mudah dicapai. Pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuh. Dan, mengisi kemerdekaan memang bukan suatu kerja yang mudah.
Latar tempat, masyarakat dan alam sekeling yang digambarkan dengan bahasa yang begitu indah. Watak Rahmat sangat menonjol dalam kebencian kepada sifat suka ambil kesempatan ,sikap malas serta khianat orang-orang Melayu. Tema kekeluargaan digarap dalam jalan cerita dengan baik. Buku yang wajib dikhatam oleh generasi muda FELDA.
No comments :
Post a Comment