Seperti mana ada yang sukakan aktiviti cabaran fizikal seperti rock climbing, water rafting, para-gliding dan lain lain, pastinya ada diantara kita yang sukakan bacaan yang mencabar pemikiran, yang bertentangan dengan pendapat peribadi sendiri atau norma masyarakat. Terminologi thought provokingselalu digunakan untuk menggambarkan buku buku sebegini.
Selain daripada unsur unsur thought provoking, sesuatu bacaan yang mencabar ialah apabila ia sarat dengan kronologi peristiwa, fakta dan terma asing dalam subjek yang bukan bidang kepakaran kita.
Kesemua bahan bacaan yang mempunyai unsur dinyatakan di atas, jatuh dalam kategori mencabar pemikiran pembaca. Ianya baik untuk mencambahkan corak berfikir, memahami perkara atau konsep baru dan dapat berpartisipasi dalam proses berfikir yang digarap oleh penulis. Lazimnya pembaca tidak perlu setuju 100% dengan argumen yang dibawa oleh penulis. Ini kerana konten buku adalah untuk merancakkan percambahan idea tanpa obligasi untuk bersetuju sepenuhnya dengan penulis. Budaya ini adalah sangat baik untuk melatih pembaca meraikan pandangan dan sudut fikir orang lain.
Kami senaraikan 15 buah buku yang akan mencabar pemikiran anda dari segi, penerimaan & kefahaman fakta, kronologi, terma kewangan, sejarah, serta sudut pandang sosial yang berbeza atau kata lain, thought provoking.
“Tun M – Inilah Perjuangan” adalah catatan peribadi penulis mengenai idea dan pemikiran tokoh dan negarawan terkemuka Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pengkisahan ini bermula daripada pertemuan dengan budayawan dan tokoh bahasa Tan Sri Datuk Wira Haji Abdul Aziz Tapa dari Kampung Rim, Jasin, Melaka yang mendorong permulaan usaha menerbitkan sebuah buku mengenai sejarah perjuangan orang Melayu membina negara bangsa Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia; berjudul Selagi Hayat Dikandung Badan: Lembaran Perjuangan pada 2006, seterusnya membawa kepada pertemuan penulis dengan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad.
#2 – Kau Sembah Apa? – Ahmad Iqram Mohamad Noor
Buku ini mengisahkan tentang agama-agama di Malaysia, serta ulasan dan kritikan terhadap isu-isu sensitiviti antara agama yang wujud di negara ini. Buku ini penuh dengan fakta, yang kebanyakkannya mungkin agak asing, kerana ia membincangkan fakta asas tentang agama lain yang wujud di Malaysia, selain daripada Islam; iaitu agama Budha, Tao, Kristian, Hindu, Sikh, dan lain lain .
Penulis memberi gandingan kepentingan memahami agama lain dan kewajiban dakwah dikalangan orang islam. Penulis dengan bijaknya menyentuh bagaimana salah faham terhadap agama di Malaysia merenggangkan hubungan antara kaum dan agama, serta membantutkan usaha dakwah dikalangan orang islam. Isa issu kontroversi dalam agama masing masing juga di sentuh, serta bagaimana dialog yang berkesan untuk merapatkan jurang agama di kalangan Rakyat Malaysia.
#3 – Muda dan Melayu
Pengalaman individu, walaupun kuat dipengaruhi oleh jatidiri kelompok, sebenarnya merupakan sesuatu yang unik. Tetapi di Malaysia, di mana identiti kaum menjadi sesuatu yang dipaksakan bagi mengekang pemikiran popular dan mengabsahkan dasar-dasar kerajaan, keunikan individu tidak dipedulikan dan dianggap tidak bernilai – malah oleh para individu sendiri. Yang menjadi paradoksnya, komuniti yang mungkin paling dikaitkan dengan pemaksaan jatidiri kelompok adalah dari kalangan Melayu sendiri.
Dalam koleksi tulisan yang disunting oleh Ooi Kee Beng dan Wan Hamidi Hamid, Sembilan penulis muda dan berjiwa muda – Haris Zuan, Wan Hamidi Hamid, Zairil Khir Johari, Dyana Sofya Mohd Daud, Altaf Deviyati, Izmil Amri, Syukri Shairi, Raja Ahmad Iskandar, dan Edry Faizal Eddy Yusof – berkongsi kenangan individu membesar di Malaysia, dan dalam beberapa aspek membahaskan politik perkauman yang menjebakkan mereka serta keseluruhan rakyat Malaysia.
#4 – Aku Kafir, Kau Siapa? (Jangan Jawab) – Ooi Kok Hin
Ooi Kok Hin mencari perjalanannya dalam naratif yang ada tetapi dengan cara yang berbeza. Untuk tulisan ini, beliau telah melakukannya dengan rasa cinta yang hebat.
Kita dapat lihat keberaniannya dalam menunjuk masalah yang kita hadapi di kala ini, tetapi dengan perasaan ingin tahu yang seakan-akan naif, disajikan dengan pelbagai jalan yang boleh diambil agar kita mampu membaiki keadaan yang ada. Kita sedar, apa yang kita mampu buat adalah berdasarkan perbandingan dengan keadaan yang lebih teruk boleh berlaku di masa hadapan.
Kesedaran kebaikan yang berasaskan keburukan adalah landasan harapan. Dan untuk itu kita harus berterima kasih kepada Ooi Kok Hin untuk suara dan tenaganya yang mampu menghidupkan harapan yang ada.
#5 – La Adri : Berkata Aku Tidak Tahu Adalah Sebahagian dari Ilmu – Zahiruddin Zabidi
Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu). Buku ini memberi jawapan kepada persoalan yang tidak mampu dijawab. Penulis membawa argumen yang baik sekali bagaimana dengan mengatakan ‘Aku Tidak Tahu’ merupakan perkara yang tidak merendahkan martabat langsung, meskipun pengucapnya adalah orang terkenal atau ilmuan. Salah satu contoh lengkap dengan pembuktian adalah kupasan berkenaan angin yang disertakan dengan autoriti ilmu Al Quran.
Menyelami kepincangan masyarakat ,iaitu gemar menghukum sesama sendiri secara sembrono tanpa landasan berfikir dan memahami sudut pandang berbeza. “Apakah mereka ini wakil Tuhan di muka bumi bagi menjatuhkan hukuman dan mencari kesalahan sahaja?”, salah satu frasa hebat yang di huraikan dengan menarik dalam buku ini.
#6 – Rich Dad Poor Dad (Edisi BM) – Robert Kiyosaki
Rich Dad Poor Dad adalah buku kewangan terbaik yang sudah berjaya mengubah hidup jutaan pembaca di seluruh dunia. Buku ini mengubah perspektif kita kepada wang dan mengeluarkan kita daripada kitaran sia-sia Rat Race. Bangun pagi, balik petang, dapat gaji, bayar hutang. Bangun pagi, balik petang, dapat gaji, bayar hutang. Ramai orang terperangkap dalam kitaran sia-sia ini.
Buku Rich Dad Poor Dad membantu kita belajar membina kekayaan berasaskan kewangan yang kukuh, membezakan antara aset yang menambah kekayaan dengan liabiliti yang menghabiskan wang, mencapai kebebasan kewangan dan kepuasan bekerja dan menjadikan wang bekerja untuk kita
“Kita menghabiskan masa bertahun-tahun di sekolah tetapi tidak belajar apa-apa berkenaan wang. Inilah sebab utama kita menghadapi masalah kewangan. Akibatnya, kita hanya belajar cara bekerja untuk wang, bukannya belajar cara menjadikan wang bekerja untuk kita.” – Robert T. Kiyosaki
#7 – Pedagogi Bahasa Tertindas – Zulfikri Zamir
Bagi anda yang mahu menyelami kesan dan akibat perlaksanaan dasar PPSMI kepada pencapaian pencapaian murid dalam subjek Sains dan Matematik dalam bentik cerita, buku ini adalah yang terbaik pernah diterbitkan. Melalui novel, penulis menggarap beberapa sisi kesan yang timbul dari dasar ini. .Bagaimana dakar ini akhirnya menyumbang kepada jurng kaum yang lebih besar, jurang sosio-ekonomi yang melebar dan akhirnya akan membentuk semula masyarakat ‘pecah-dan-perintah’.
Cerita ini dibina secara epistolari, menerusi surat-surat yang dihantar oleh tiga watak minimalis iaitu Dr Hussein Taha, anaknya Widya Wassini dan juga anak saudaranya iaitu Zulfa Ali serta ayah kepada Zulfa dan adik kepada Dr Hussein iaitu Datuk Farid Nasr. Tidak dinafikan ada yang berpendapat penggunaan Bahasa Inggeris membantu anak bangsa untuk bersaing mendapatkan ilmu yang majoritinya disampaikan melalui Bahasa Inggeris. Jika anda juga berfikiran begitu, buku tulisan ZF Zamir ini terbaik untuk mencabar pemikiran anda untuk mendapatkan sisi berbeza dalam isu yang sama.
#8 – Islam Dan Kepelbagaian – Dr. Mujahid Yusof Rawa
Kepelbagaian merupakan satu kejadian alam yang membuktikan tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T. Tiada sesuatu yang ada di muka bumi ini melainkan semuanya ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, rupa dan pilihan. Kerencaman ini menandakan kejadian alam serta kejadian pada alam haiwan dan pada diri manusia sendiri.
Islam menerima realiti kepelbagaian (agama) secara wujudnya (existence) walaupun hanya Islam sahaja yang diyakini benar (oleh penganutnya) secara teologinya, amalannya dan syariahnya lantas bagi menjalani kehidupan dalam keadaan damai kerana wujudnya kepelbagaian agama yang berfungsi untuk menjadi konflik, Islam mewajibkan RahmatNya bagi mengatasi dan menguruskan wujudnya kepelbagaian yang ada (peacefull co existence).
#9 – Orkes Masyarakat Manusiawi – Dr. Maszlee Malik
Di Malaysia dewasa ini, suasana mempergunakan agama untuk melarikan rakyat dari isu sebenar semakin ketara. Di satu sudut terdapat pihak yang oportunis untuk mengekalkan kekuasaan dan korupsi mereka dengan membangkitkan isu berkaitan sentimen agama. Golongan ini cuba mewujudkan sinonim bahawa mempertahankan agama adalah selari dengan agenda mengekalkan kekuasaan mereka.
Mempertahankan agama pula ditonjolkan di dalam kerangka isu-isu sensitif melibatkan perkauman dan juga keagamaan. Mempertahankan agama menurut pentafsiran mereka adalah dengan meletakkan golongan berkepentingan ini di tempat yang tinggi dan kemudiannya mereka bebas melakukan korupsi, rasuah, memperbanyakkan aktiviti maksiat, tetapi di dalam masa yang sama menafikan hak-hak penganut agama lain.
#10 – Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah – Syed Hussein Al-Atas
Buku ini telah diterbitkan pertama kali pada tahun 1979 di Singapura, tetapi masih relevan bagi masyarakat islam hari ini. Dalam buku ini, penulis memberikan fokus pada peranan Islam sebenarnya dalam kemajuan masyarakat. Beliau menyelidiki makna kemajuan dan mengenal pasti beberapa halangan kepada kemajuan masyarakat Islam.
Selain itu, buku ini juga menyeru supaya masyarakat Islam menyedari mengapa Profesor Syed Hussein menamakan jenis manusia baharu Islam, kerana tanpa golongan pemikir yang terdiri daripada manusia baharu ini, masalah masyrakat islam seperti kemunduran ekonomi dan sosial, rasuah, dan ekstremisma akan berterusan.
#11 – Identiti Muslim Eropah: Perspektif Tariq Ramadan – Faridah Mat Nong
Identiti Muslim merupakan suatu fenomena yang amat subjektif. Walaupun begitu, Ramadan menekankan aspek penting dalam menjustifikasikan pemahaman identiti Islam kepada warga Muslim Eropah. Pembentukan identiti Muslim dalam masyarakat Islam Eropah perlu bercirikan kepada cara hidup Islam sepenuhnya dengan menekankan aspek akidah dan spiritual yang bersumber kepada pendidikan al-Quran dan Sunah serta diadaptasi dalam bentuk tindakan dan amalan harian dalam hubungan sosial dan masyarakat.
Buku ini akan memberi kefahaman kepada masyarakat umum tentangkonsep identiti Muslim Eropah. Ia mengupas beberapa isu teras yangmenjadi permasalahan kepada konsep ini, kemudian disusuli pula perbincangan yang boleh menjadi penyelesaian awal kepada permasalahan tersebut. Buku ini sangat sesuai dibaca untuk memahami satu lagi gagasan pemikiran Tariq Ramadan.
#12 – Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu – Shaharuddin Maaruf
Persoalan kepimpinan sesungguhnya asasi bagi kemajuan sesebuah masyarakat. Justeru, konsepsinya apa itu keperwiraan atau heroic adalah signifikan, dalam pengertian ia mencoraki sebahagiannya pola motivasi mereka yang terlibat. Pengarang buku ini berusaha mengkaji konsepsi wira sebagai yang dipamirkan golongan pemerintah. Ia menjejaki hubungannya dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Melayu buat menunjukkan kepentingan temanya. Buku ini sebenarnya adalah lebih tentang pemuja wira dari tentang wira. Ia mengkaji tokoh-tokoh hanya sekadar mereka itu mencerminkan nilai-nilai dan idealisme pemuja-pemuja mereka sendiri. Tumpuan buku bukanlah untuk meleraikan perbahasan tokoh-tokoh mana yang sepatutnya dinobatkan sebagai wira-wira Melayu, baik Hang Tuah atau pun Hang Jebat sekali pun.
Persoalan bagi buku ini tetap terutamanya tertumpu kepada pengamatan nilai-nilai dan idealisme Melayu, kesedaran jati diri dan budaya. Buku menyelidik kuasa-kuasa sosial yang telah membina dan mencoraki nilai-nilai dan idealisme tersebut, seperti tercermin dalam dinamika dan ideologi kumpulan, jua kepentingan-kepentingan terpendam mereka yang terlibat. Mereka yang kurang bersetuju dengan beberapa kenyataan dalam buku ini seharusnya sanggup menolaknya secara logik dan tersusun. Sebuah buku ‘thought-provoking’ yang baik!
#13 – Lastik! Lontaran Batu Kerikil – Shaharuddin Maaruf
Lastik, himpunan penulisan kritis semasa terbitan Gerakbudaya dan Diskopi. Pelbagai ruang isu dikupas termasuk, (1) Budaya; mengupas lapisan perspektif norma masyarakat. (2) Ekonomi dan Politik; yang lebih kepada memberi gambaran makro. Bahagian akhir; (3) Gender dan Sastera yang mengupas seputar isu feminism dan kritik sastera. Ketiga tajuk besar ini menggariskan kompilasi artikel yang menepati tema setiapnya.
Boleh jadi pembaca tidak 100% setuju dengan lontaran pendapat penulis-penulis ini. Nah, inilah dia seronoknya buku genre begini. Ia memaksa otak ligat berfikir kritis!
#14 – Revolusi Intelektual – Zulkifli Hasan, PhD
Buku Revolusi Intelektual di tangan para pembaca ini secara khusus membicarakan gagasan utama mengenai intelektual Muslim dan arus kebangkitan Islam menerusi pendekatan rahmatan lil ’alamin termasuk membincangkan beberapa isu terpilih yang menyentuh secara langsung dalam kehidupan masyarakat. Ia menggambarkan aspirasi penulis mengenai kepentingan revolusi intelektual dan memahami isu semasa secara lebih berkesan dan berilmu.
Sesungguhnya penguasaan ilmu menerusi dinamika intelektual dan kemampuan memahami isu semasa adalah sesuatu yang perlu dikuasai oleh umat Islam bagi memastikan sebarang unsur dan cabaran yang dilalui dapat dihadapi dengan baik berbekalkan ilmu dan kefahaman yang secukupnya.
#15 – Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi – Wan Ji Wan Hussin
Ulama yang mewarisi Nabi, mereka akan mengambil sikap seperti sahabat yang berjumpa dengan Huzaifah alYAmani (penjaga senarai nama orang munafik) dan bertanya, “apakah aku dalam senarai orang munafik atau tidak?”
Ini berbeda dengan ulama yang tidak mewarisi sifat Nabi, kerana mereka akan bertanya, “apakah si fulan itu, si fulan ini tersenarai orang munafik atau tidak?”
Dunia akan aman, apabila ada ulama yang mewarisi Nabi. Tetapi kehancuran sering terjadi, apabila ada yang mendakwa bahawa mereka adalah pewaris Nabi, walaupun umat manusia sendiri secara fitrah menilai tindakan mereka adalah sebaliknya.
No comments :
Post a Comment