Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita semua maklum bahawa
al-Quran diturunkan oleh Allah di bulan Ramadhan. Para ahli seerah
menerangkan bahawa pada satu malam di bulan Ramadhan, ketika Nabi (saw)
sedang bertahannuth di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda
membaca.
Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang
menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah.
Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia)
dengan perantaraan kalam.(surah al-Alaq:1-4)
Rata-rata
umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering
membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya
yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini.
Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu
yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.
Menurut
Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan
wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan
kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika
dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah
kewujudan umat manusia!”.
Hakikat sebenar peristiwa ini ialah
Allah (swt), Yang Maha Agung, Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan
rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama
manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala
yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali
terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima
cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah- Nya.
Ini
adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdialan
kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta
dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan
Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam
cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.
Pada
malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat
hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini,
Allah endah (care) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami
dengan kalimah Allah.
Peristiwa besar ini membawa perubahan yang
besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana
manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai
sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu
bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum,
peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani.
Dan
perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun. Para sahabat
memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang
mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini
berakhir dengan kewafatan Nabi (saw).
Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw).
“Marilah
kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi)seperti mana yang sering
dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau
menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu
bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau
menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda,
wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan
ketiga-tiga mereka pun menangis. (hadis Riwayat Muslim)
Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi.
Wahyu
itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini
menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan
menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.
No comments :
Post a Comment