Monday 16 March 2020

Survival Kewangan Kerajaan Sekarang Sangat Bergantung Kepada Cukai Dari Bukan Islam

Syed Akbar Ali,
seorang penganalisis yang realistik


SEORANG ahli perniagaan dan ahli perbankan, yang juga penganalisis ekonomi dan politik terkemuka berpandangan bahawa kerajaan Malaysia sangat bergantung kepada para pembayar cukai di kalangan orang bukan Islam untuk kelangsungan pengurusan kewangan dan ekonomi yang lemah.

Menurut Syed Akbar Ali, belanjawan negara 2020 yang dibentangkan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tahun lalu adalah bersandarkan harga minyak petroleum US$60 setong, dan kini harga minyak di peringkat antarabangsa terus merudum kepada US$40 dan US$30 setong. 

Ini menjadikan peruntukan dari hasil minyak petroleum melalui cukai, dividen dan sebagainya merosot sehingga 50 peratus dari projeksi asal. Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai suasana kurang baik ini, lalu menganggarkan hasil minyak petroleum yang sepatutnya menyumbang 20.7 peratus kepada hasil kerajaan. 

Maka, sumber lain untuk menampung belanjawan berkenaan terpaksa dinaikkan sehingga jauh lebih besar dari 79.3 peratus. Beliau membayangkan sumber-sumber lain merujuk kepada sumbangan cukai, duti import, cukai jualan, eksais dan lain-lain jenis cukai. 

Kebanyakan cukai-cukai ini datang dari kalangan pembayar cukai bukan Islam, iaitu orang-orang Cina dan India. Syed Akbar juga mengingatkan syarikat-syarikat GLC di mana pemegang saham majoritinya adalah kerajaan sudah pun gagal untuk menyumbang cukai kepada kerajaan kerana mereka sendiri sedang menanggung kerugian teruk. 

Atau mungkin terpaksa gulung tikar. Antara entiti yang dimaksudkan termasuk Malaysia Airlines, Felda, Tabung Haji dan mungkin Petronas sendiri. Bagaimanapun, masih ada GLC yang masih memperolehi keuntungan dan menyumbang cukai kepada kerajaan. 

Salah satunya, Tenaga Nasional Berhad. Cuma keuntungan yang dikaut adalah hasil dari memeras rakyat.


Kita ikuti tulisan Syed Akbar Ali pada hari Ahad, 15 Mac 2020, seperti di bawah.
_____________________________________________________________________


Tuan-tuan pembaca, nukilan saya hari ini sangat penting bagi kita semua faham apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara kita.

Terutama sekali bagi orang Melayu dan kaum bumiputera yang sangat bergantung kepada kerajaan untuk sara hidup. 

Tuan-tuan harus faham dari mana datang pula "sara hidup" kerajaan. 

Ramai orang termasuk Wakil Rakyat dan Menteri tidak faham dari mana datangnya duit kerajaan. Saya pernah dengar Idris Jala (seorang Menteri Kabinet dulu) berkata bahawa duit kerajaan bukan duit rakyat. Jadi kalau Menteri sendiri tidak faham dari mana datangnya duit yang kerajaan belanja, tak hairanlah jika orang yang bukan Menteri akan lebih tak faham. 

Untuk posting ini saya rujuk data maklumat daripada Kementerian Kewangan di sini :


Sejak beberapa tahun ini harga minyak sudah menurun ke tahap US$50 - US$60 satu tong. Akibatnya hasil minyak negara pun berkurangan dan kerajaan menghadapi kesempitan untuk membiayai belanjawan negara.

Tetapi minggu sudah harga minyak dunia jatuh 40% lagi dan sekarang berada disekitar US$30+ satu tong. Saya rasa Petronas (khazanah nasional kita yang sebenarnya) boleh mengalami kerugian jika harga minyak yang rendah ini berpanjangan. Dan seterusnya kutipan hasil kerajaan akan menjadi sangat kronik. 

Saya faham bahawa Budget 2020 atau belanjawan Kerajaan bersandar kepada harga minyak US$60 satu tong. Kalau begitu, maksudnya separuh hasil kerajaan daripada sumbangan Petronas (cukai dan dividen) amat terjejas. 

Carta berikut menunjukkan sumber hasil kerajaan pusat:



Perhatikan bahawa pada 2009, 41% daripada hasil kerajaan datang daripada hasil minyak petroleum. 

59% daripada hasil kerajaan yang lain datang daripada kutipan cukai yang pelbagai (Income tax, company tax, sales tax etc).  

Sila lihat bahawa daripada tahun 2009, hasil minyak dan petroleum makin menurun tetapi sumbangan hasil daripada cukai pendapatan, company tax dsbnya makin bertambah.  

  • Untuk 2020, anggarannya ialah peratus sumbangan hasil minyak dan petroleum akan jadi SEPARUH SAJA daripada tahun 2009. 
  • Minyak dan petroleum akan menyumbangkan hanya 20.7% kepada  hasil kerajaan. 
  • Sumbangan daripada hasil cukai yang lain akan NAIK menjadi 79.3 % daripada sumber kewangan kerajaan. 

Tuan-tuan jangan lupa, semua angka ini telah dikira (untuk Budget 2020) bersandarkan harga US$60 bagi satu tong minyak.

Tetapi hari ini pula harga minyak hanya US$30+ satu tong. 

Maksudnya kiraan Budget 2020 itu bolehlah di tongsampahkan. 

Kerajaan tidak akan mendapat 20.7% sumbangan hasil daripada Petronas lagi. 

The game is over.


Sekarang kita lihat kepada perbelanjaan kerajaan.  

Ke mana perginya semua duit hasil itu?



Daripada jumlah Budget hampir RM300 Bilion itu, lebih 81% atau RM241 billion adalah untuk OE ia itu Operating Expenditure. OE maksudnya untuk menanggung operasi kementerian dan jabatan kerajaan.

Hanya 19% atau RM56 billion adalah untuk DE atau Development Expenditure ia itu duit untuk projek-projek pembangunan. 

Untuk pendek-kan cerita, lebih 81% daripada Belanjawan Kerajaan (Government Budget) adalah untuk membayar gaji dan pencen 1.6 JUTA penjawat awam, bayar gaji 70 orang Menteri dan Timbalan Menteri, bayar BR1M, bayar sabsidi yang masih banyak, bayar skim makanan kanak-kanak sekolah dan banyak lagi lah.

Bantuan biasiswa, sekolah, hospital, bantuan keluarga B40 dan semua sekali lah. 

Sila lihat dua carta yang berikut :



Sila perhatikan 'Others'. 'Others' itu apa pula? 

'Others' ini akan menelan 33.4% daripada peruntukan Operating Expenditure. 

40.5% lagi akan dibelanjakan untuk perkara 'Sosial'. (Segala jenis bantuan 'percuma' juga lah).

'Others' dan 'Sosial' ini sudah menelan RM178 billion atau 74% daripada peruntukan Operating Expenditure itu. 

Yang berikut pula adalah DE atau Development Expenditure atau belanja untuk pembangunan. Paling sikit sekali.


Sekarang saya 'cut and paste' sikit daripada carta tadi.


Perhatikan sekali lagi bahawa pada 2020 sumbangan daripada hasil minyak petroleum 20.7% sahaja. Sudah banyak kurang.  Ikut peratusan sumbangan-nya hasil minyak negara makin meruncing.  Menghampiri kritikal. 

Dan ini adalah sebelum corona virus dan sebelum harga minyak collapse macam Highland Towers.  Hasil minyak 20.7% itu berasaskan harga minyak US$60 satu tong. Yang reality sebenarnya hari ini, harga minyak sekitar US$30+ satu tong. 

Percayalah kutipan 20.7% hasil kerajaan daripada minyak petroleum itu tak akan jadi dah. It is Game Over. 


So what is left? Apa yang ada lagi?

Yang tinggal bagi kita adalah 79.2% hasil Kerajaan yang datang daripada pembayaran segala jenis cukai oleh rakyat negara kita. Semua rakyat negara kita.

Cukai yang dibayar oleh rakyat negara hasil daripada usaha, kerja, peluh, keluh, tungkus, lumus, segala jenis siksa dan aniaya yang dialami (daripada dasar kerajaan yang dangkal) dan rakyat negara masih boleh memberi sumbangan 79% kutipan hasil Kerajaan. 

Maksudnya usaha kerja, peluh keringat rakyat pembayar cukai yang memberi oksijen "duit belanja" kepada Kerajaan.

It is the peoples' money through their sweat, tears, hard work, suffering and sorrow that will pay 79% of the government's tax collection to spend and waste their money.

Siapa kah pembayar cukai?  

Syarikat kerajaan semua sudah bungkus. 
MAS sudah bungkus. 
Felda sudah bungkus. 
Tabung Haji bayar dividen 3% sahaja. 
Kemungkinan Petronas pun boleh bungkus.

Hanya syarikat GLC dan syarikat kroni yang beroperasi dalam keadaan monopoli dan oligopoli seperti perbankan, jana eletrik, monopoly highway dsbnya yang mendapat untung dan boleh membayar cukai. Tetapi keuntungan mereka adalah daripada menekan dan memeras rakyat. 

Untuk menampung "kejayaan" mereka,  pengguna terpaksa pula tidak mempunyai pilihan atau pilihan kita terhad. To sustain the monopolies and oligopolies of the GLCs and the cronies, the consumer must be deprived of choice. 

Maksudnya sumbangan cukai oleh GLC dan syarikat monopoli ini didapati menerusi dasar membuli dan menekan rakyat. 

  • Dalam bahasa kewangan (in financial parlance) mereka mempunyai 'low quality earnings'.  
  • Jika monopoli dibubarkan, lesen bumiputra dibatalkan, kuota ditamatkan (atau harga minyak jatuh merudum) maka mereka pun akan terkubur. 
  • Falsafah hidup mereka mudah saja : "selagi kita pegang kuasa selama itulah kita berjoget". 

Jadi janganlah harap sangat mereka boleh kekal selamanya menyumbangkan hasil cukai yang lumayan kepada kerajaan. Lama-lama mereka akan bungkus. Dan inilah yang sedang berlaku sekarang.

Tetapi golongan yang begitu lama sekali membayar cukai kepada kerajaan tanpa putus dan tanpa henti adalah kaum peniaga dan pedagang bukan bumiputera. Maksudnya orang Cina dan juga ramai  orang India.

Macam mana pula? Kenapa begitu? 

Sebab tanpa sabsidi, tanpa kuota, tanpa lesen (kecuali sebilangan kecil) mereka masih survive dan maju dalam perniagaan. Sebilangan besar syarikat yang tersenarai di Bursa Saham yang masih maju dan membayar cukai kepada Kerajaan adalah kepunyaan orang Cina dan India.

Jauh lagi besar sumbangan cukai mereka adalah daripada syarikat Cina dan India yang kecil dan sederhana. Restoran India yang membuka kedai pada pukul enam pagi setiap hari tanpa putus. Kedai mekanik dan membaiki tayar kereta kepunyaan mereka.

Cina yang sudah beroperasi sejak 30 tahun. Showroom jual kereta, second hand car dealer, kilang perabot, kilang tepung dan  rempah yang telah beroperasi sekian lama - mereka semua menyumbangkan cukai dan hasil kepada Kerajaan.

Dan merekalah pembayar cukai impot (import duty) yang besar sebab mereka mengimpot terlalu banyak barang keperluan untuk pengguna, untuk kilang dan untuk perniagaan mereka. Segala usaha mereka menjana hasil cukai kepada Kerajaan.

Mereka jugalah membayar berbilion Ringgit setiap tahun untuk levi dan yuran mengimpot pekerja Bangla, Indon, India dsbnya untuk bekerja di kilang, tapak pembangunan, restoran dan di ladang. Semua ini menghasilkan berbilion Ringgit kutipan hasil kepada  Kerajaan.

Percayalah Tuan-Tuan, pungutan cukai non petroleum (bukan minyak) sekarang menyumbangkan lebih 70% daripada hasil Kerajaan. Hasil daripada minyak dan gas pula disekitar 20% sahaja dan makin berkurangan. 

Semua rakyat negara yang membayar cukai, terutama sekali peniaga dan pengusaha Cina, India dan bukan bumiputera yang lain - merekalah 'The goose that lays the golden eggs'.  Merekalah yang akan terus menjana hasil cukai yang terbesar kepada Kerajaan. Sumbangan merekalah jadi periuk nasi bagi Kerajaan. Duit minyak sudah jadi asap.  

Jadi bagi saya beberapa makhluk yang menyuarakan Buy Muslim First atau Buy Kafir Last atau serupa begitu mencerminkan kedangkalan yang tidak terhingga. Serupa juga dengan Rasputin yang berpantun menyindir 'keling' dan 'kepala lembu'. Mereka hidup senang dengan makan gaji daripada Kerajaan. Atau membelanjakan peruntukan wang daripada Kerajaan. Takkan awak begitu bodoh tak faham duit itu datang dari mana?  


Ikut konsep salafi yang makan duit jizya pun, kalau tiada golongan bukan Islam bayar wang jizya habis macam mana awak nak beli underwear pun? 

Lebih terang tanpa selindung...
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin
... inilah akibatnya bila mufti bercakap terlampau banyak, termasuk hal-hal di luar bidang kuasanya sendiri

(Untuk makluman mereka yang kononnya pakar agama ini, kalimah jizya disebut 118 kali dalam al Quran. Tidak ada sekali pun jizya itu beri maksud "kutipan cukai daripada bukan Islam", termasuk Surah 9:29 yang famous itu.)

GLC dan kroni monopoli hisap darah sudah bungkus.
Sekarang duit minyak makin jadi asap.

Korona virus pula padamkan lampu disemua hotel dan pusat pelancong asing.

Minyak sawit dan Felda sudah bungkus juga.

Apa-apa dasar yang menggunakan kuasa, paksa, kekerasan, menekan orang semuanya makin hancur. Semuanya makin bungkus. 

Akhir kalam kutipan hasil Kerajaan makin kronik. 

Duit Belanjawan Kerajaan nak datang dari mana?


Bagi Kerajaan yang memerintah, yang tinggal hanya sumbangan cukai, import duty, sales tax, eksais dan berjenis lagi cukai.  

Kaum bukan bumiputera / bukan Melayu / bukan Islam memainkan peranan besar dalam ekonomi negara kita. Ini fakta yang sah.  Merekalah masih menjayakan sektor swasta terutama sekali pengilangan, perusahaan dan perniagaan. Dan usaha mereka menjana begitu banyak kutipan hasil bagi Kerajaan. Lebih 70% hasil Kerajaan datangnya daripada kutipan semua jenis cukai. 

Tak mahu tolong mereka tak apa. 

Tak mahu bantu mereka pun tak apa.

Mereka boleh survive.

Tetapi janganlah pergi kacau dan mengusik mereka.
Jangan buat onar, berpantun keling entah apa, berkempen Buy Muslim First (maksudnya Buy Kafir Last lah) dsbnya.
Jangan menghalang mereka daripada usaha dan kerja mereka sendiri.

Jika mereka boleh menukar tanah kosong jadi ladang biarkan mereka.
Semua penduduk akan untung bersama.
Jika mereka boleh mengubah padang jarak jadi kilang besi biarkan mereka.
Semua orang boleh mendapat peluang pekerjaan.
Jika mereka boleh membangun tapak menjadi projek pembangunan biarkan mereka.
Semua orang bakal menduduki rumah dan kedai yang dibina.
Jika mereka boleh mendirikan gedung, membuka bank dan apa pun biarkan mereka.
Semua orang boleh berniaga dengan mereka dan maju bersama.
Jika mereka boleh membuka peluang pekerjaan baru biarkan mereka.
Jika mereka boleh memajukan ekonomi sesuatu kawasan biarkan mereka.

Periuk nasi mereka juga adalah periuk nasi semua.

No comments :

Post a Comment