Thursday 19 March 2020

Covid-19: Peserta Ijtima Dunia 2020 tunjuk gejala awal

Himpunan Tabligh

MAKASSAR - Seorang peserta acara himpunan tabligh, Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Indonesia dirujuk ke Hospital Haji Makassar di Sulawesi Selatan selepas mengalami gejala demam panas.

Gabenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah berkata, lelaki terbabit ialah warga tempatan dari Nusa Tenggara Timur.

"Sehingga sekarang belum ada laporan ada peserta Ijtima Dunia 2020 menjadi suspek Covid-19.

"Tapi Pengarah Pejabat Kesihatan Daerah memaklumkan terdapat peserta himpunan yang mengalami demam panas. Pesakit terbabit telah dirujuk ke hospital dan dalam pemantauan rapi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurdin turut memaklumkan bahawa seramai 411 warga asing yang terlibat dalam perhimpunan tersebut bakal dikuarantin sebelum dibenarkan kembali ke negara asal.

Tambahnya, polis telah dikerah mengasingkan kesemua peserta di sebuah hotel dan melarang mereka melakukan kontak rapat dengan penduduk tempatan.

"Seramai 411 orang daripada enam negara diarah menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Selepas tempoh itu, mereka akan dihantar ke pelabuhan atau lapangan terbang untuk pulang ke negara masing-masing.

"Bagi peserta tempatan pula, mereka turut dikuarantin di Asrama Haji dan segala keperluan akan disediakan," katanya.

Beliau turut meminta penduduk Sulawesi Selatan tidak panik dengan situasi semasa di wilayah itu kerana pihak berkuasa telah mengambil tindakan wajar bagi mengekang penularan Covid-19.

Semalam, pegawai wilayah mengesahkan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia anjuran Tabligh Jama'at di Gowa berdekatan bandar Makassar itu dihadiri hampir 10,000 peserta.

Acara himpunan membabitkan ribuan masyarakat Islam di Sulawesi Selatan itu turut dihadiri peserta luar negara termasuk dari Thailand, Timur Tengah, India, Filipina dan Malaysia. - Agensi

No comments :

Post a Comment