Thursday, 18 September 2014

Lapang dihias warna merah


RUANG tamu berwarna merah dan putih yang menawan

PASTI senang mengatur kedudukan perabot sekiranya rumah yang diduduki adalah luas dan lapang. Itu kelebihan yang diperoleh oleh Siti Hajar Md. Hasan, 53, yang telah menduduki rumah agam miliknya ini sejak 15 tahun lalu bersama suami, Mustakim Abdullah, 55, dan anak-anak.


Terletak di sebidang tanah milik sendiri di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah, Siti Hajar memastikan semua susun atur rumah yang dipilihnya tidak terlalu padat dengan banyak perabot kerana sukakan suasana lapang. Ringkas tetapi menarik.

Memang menggemari konsep Inggeris, tetapi Siti Hajar hanya memperuntukkan satu sudut tertentu untuk melestarikan konsep tersebut agar sesuai dengan pandangan mata. Di sudut ini dia meletakkan cenderamata yang sepadan dengan konsep berkenaan.

Uniknya rumah setingkat yang mempunyai lima bilik itu ialah dari segi penggunaan warna. Pada kali ini Siti Hajar memilih warna putih, kelabu dan merah untuk santapan mata pemilik dan tetamu yang datang.

Menariknya, warna merah menjadi warna utama dijalinkan dengan lantai yang bermarmar putih dan dinding yang bercat kelabu terang. Ini termasuklah warna merah digunakan pada hamparan alas kaki di pintu masuk, perabot, langsir, begitu juga kerusi sisi di tepi dinding.

“Saya sebenarnya tertarik dengan warna merah. Tetapi menggunakan warna merah sahaja akan menjadikan rumah saya nampak pelik, justeru saya jalinkan dengan warna yang kontras dengannya agar nampak unik.

“Semua idea peletakan perabot saya aturkan sendiri agar sesuai dengan jiwa. Begitu juga dengan pembelian perabot dan meja kopi dan meja makan," katanya.

Dalam pada itu bagi menambah menarik, ruang tamu, ruang keluarga dan meja makan untuk tetamu dipisahkan oleh dinding yang diletakkan seperti di atas pelantar bertingkat untuk mendapatkan privasi tersendiri bagi tetamu atau keluarga terdekat yang berkunjung.

Bagi mendapatkan efek tersendiri, Siti Hajar menggunakan kertas dinding di sini berwarna kelabu serta almari hiasan dan televisyen untuk menjadikannya menarik.

“Saya akan mengekalkan konsep yang ada setiap lima tahun, kalau hendak diubah pun mungkin terhadap langsir dan susun atur perabot," katanya.


No comments :

Post a Comment