Sunday, 2 February 2014

Permulaan jin dihalang dari mencuri berita langit


Terdapat suatu riwayat yang mengemukakan bahawa Rasulullah S.a.w tidak pernah membacakan kepada jin Al-Quran dan tidak pernah melihat mereka. Ketika Rasulullah S.a.w bersama rombongan sahabat menuju ke Pasar Ukkazh, setibanya baginda di Tuhamah, Rasulullah S.a.w dan rombongan berhenti untuk mendirikan sembahyang Subuh.


Perkara ini menyebabkan berita-berita langit yang dicuri oleh syaitan terhalang, malahan mereka mendapat lemparan bintang-bintang sehingga terpaksa pulang kepada kaumnya. Setibanya ia di tempat kaumnya, syaitan itu pun ditanya, "Apa yang terjadi sehingga kalian kembali?" Mereka menjawab, "Kami terhalang untuk mendapatkan berita dari langit. Bahkan kami dikejar oleh bintang-bintang." Kaumnya berkata, "Kita tidak mungkin terhalang dari berita langit. Tentu ada sebabnya. Bertebaran lah kalian ke Timur dan Barat dan carilah sebab kepada penghalangan ini."


Maka bertebaranlah mereka ke Timur dan Barat sehingga sebahagian daripada mereka pun tiba di Tuhamah tempat Rasulullah S.a.w berhenti untuk sembahyang Subuh. Mereka mendengar bacaan Rasul serta memerhatikannya, lalu berkata; "Demi Allah, ini lah yang menghalang kita untuk mendapatkan berita dari langit."

Kemudian mereka pun pulang ke kaum mereka dan menyampaikan berita tersebut sambil mengagumi Al-Quran yang membawa mereka ke jalan penuh hidayah Allah, sehingga mereka beriman. Maka turunlah ayat ini - Surah Al-Jin : ayat 1 -, sebagai pemberitahuan kepada Nabi Muhammad S.a.w untuk diceritakan kepada umatnya tentang kejadian tersebut. 

[Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan at-Tirmidzi dan yang lainnya dari Ibnu Abbas]

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Nabi S.a.w membaca al-Quran di tengah kebun kurma, turunlah jin di antaranya bernama Zaibaah untuk mendengar serta mengingatkan kawan-kawannya untuk memerhatikan bacaan Rasulullah. Maka penurunan ayat - Surah Al-Ahqaaf : 29 - 31 - adalah untuk menceritakan peristiwa tersebut.

[Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Mas'ud]

Sahl bin Abdillah bertemu dengan jin yang bertemu dengan Isa a.s dan Muhammad S.a.w

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa ketika Sahl bin Abdillah berada di tempat tinggalan negara 'Aad, dia terlihat kesan sebuah kota yang di tengahnya terdapat sebuah gedung batu terukir yang dihuni oleh jin. Dia pun masuk ke dalam gedung itu, dan di dalamnya terdapat seorang lelaki yang tinggi besar sedang sembahyang menghadap kiblat.

Dia memakai jubah yang dibuat dari bulu yang sangat indah. Dia mengagumi bentuk tubuh orang itu yang tinggi besar, akan tetapi dia lebih mengagumi keindahan jubahnya. 

Kemudian dia pun memberi salam kepadanya. Lalu lelaki itu menjawab salamnya dan berkata,"Hai Sahl, sesungguhnya badan itu tidak merosakkan pakaian tetapi yang merosakkan pakaian adalah bau dosa dan makanan yang haram. Jubah yang aku pakai ini berusia tujuh ratus tahun dan dalam jangka waktu itu aku bertemu dengan Isa dan Muhammad (alaihimas salam). Aku beriman kepada keduanya."


Maka berkatalah Sahl, "Siapakah tuan?" Lelaki itu menjawab, "Aku termasuk di antara yang disebutkan dalam ayat ; .. قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ " [Surah Al-Jin : 1] 

[Diriwayatkan oleh Ibnu Al-Jauzi dalam kitab Shifat Ash-Shafwah dengan sanadnya dari Sahl bin Abdillah] [1]



Tambahan dari kitab Tafsir Ibnu Katsir

Sufyan berkata, "Sebahagian jin desak-mendesak dengan sebahagian yang lain." Demikian yang diriwayatkan sendiri oleh Imam Ahmad. Dan akan kami kemukakan juga sebuah riwayat dari Ibnu Jarir dari Ikrimah, dari Ibnu 'Abbas, bahawa jin-jin itu berjumlah tujuh jin, dari Nashibain (ada juga riwayat yang mengatakan sembilan jin).

Imam Ahmad juga meriwayatkan dari Ibnu 'Abbas r.a , ia berkata; "Apabila jin-jin itu mendengar wahyu, mereka menambah satu kalimah dengan sepuluh kalinya, maka apa yang mereka dengar itu memang benar, sedangkan yang mereka tambahkan itu suatu kebathilan. Sebelum itu bintang-bintang itu tidak dilemparkan kepada mereka. Setelah Rasulullah S.a.w diutus, maka salah satu dari jin itu tidak mendatangi tempat duduknya melainkan dilempari dengan meteor-meteor yang dapat membakar bahagian yang dikenainya. Kemudian mereka melaporkan kejadian itu kepada Iblis. Iblis berkata; "Hal ini tidak lain hanya kerana sesuatu yang terjadi." Kemudian Iblis itu mengirimkan pasukannya hingga akhirnya sampai kepada Nabi S.a.w yang sedang mengerjakan solat di antara dua gunung Nakhlah. Kemudian mereka mendatangi beliau, lalu memberitahu hal itu kepada Iblis. Iblis pun berkata; "Inilah kejadian yang terjadi di Bumi."

Hadits tersebut juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan an-Nasa-i dalam kitab Tafsir dan Sunan mereka dari hadits Israil. At-Tirmidzi mengatakan, "Hadits ini Hasan Shahih." Demikian pula yang disampaikan oleh Hasan Al-Basri, bahawa Rasulullah S.a.w tidak menyedari tentang perkara mereka, kecuali setelah Allah Ta'ala menurunkan kepada beliau wahyu.

Al-Hafidz Abu Bakar Al-Baihaqi meriwayatkan dari Jabir bin Abdillah r.a, ia berkata, "Rasulullah S.a.w membaca Surah Ar-Rahman sampai khatam, lalu beliau bersabda; "Mengapa kulihat kalian diam saja? Jin mempunyai jawapan yang lebih baik dari kalian. Aku tidak membacakan ayat berikut ini - فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?) - sekalipun kepada mereka, melainkan mereka akan mengatakan; "Dan tidak ada suatu pun dari nikmatMu yang kami dustakan. Segala puji hanya bagiMu." Demikian pula diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dalam bab Tafsir, dan dia mengatakan, "Hadits ini Gharib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari hadits al-Walid dari Zuhair." [2]

Tempat Rasulullah S.a.w dan para sahabat sembahyang Subuh dan didengari oleh jin itulah yang kemudiannya didirikan masjid yang diberi nama Masjid Al-Jin atau Al-Bai’ah, yang terletak 1.5 km sebelah utara Masjidil Haram. Wallahu a'lam .......


Rujukan:



1 - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzul - Imam As-Suyuthi

2 - Tafsir Ibnu Katsir (Tafsir Surah Al-Ahqaaf, ayat 29 hingga 32)

* Nashibain ialah satu daerah antara Syria dan Iraq.

No comments :

Post a Comment