1. Utamakan Solat
Cuba semak solat kita. Adakah cukup 5 waktu solat kita? Adakah kita bersolat di awal waktu?
Jika kita menjaga solat kita, Insyallah, Allah akan permudahkan segala urusan kita dan memberikan rezeki yang diberkati. Seperti mana firman Allah di dalam surah Taha, ayat 132
"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."Dengan menunaikan solat, bukan sahaja kita akan mendapat ganjaran pahala dan rezeki, malahan, fikiran juga akan bertambah cerdas.
2. Mengerjakan Solat Tahajud
Kunci untuk dimurahkan rezeki, sama ada rezeki kesihatan, rezeki harta, rezeki pangkat, rezeki ketenangan dan segala-gala bentuk rezeki, adalah dengan mengerjakan solat tahajud.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam sahih Muslim, Rasullah S.A.W pernah bersabda..
"Allah turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berlalu sepertiga malam pertama. Maka Dia berkata,"Aku adalah Sang Raja. Siapa sahaja yang memohon kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya. sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan memberinya, siapa sahaja yang memohon ampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya. Dia tetap seperti itu hingga muncul cahaya fajar".Jadi, cubalah mengamalkan solat tahajud. Apa sahaja rezeki yang dihajati, boleh dipohon pada waktu ini. Insyallah, Allah akan perkenankan.
3. Mengerjakan Solat Dhuha
Sudah ramai yang sudah merasai khasiat dan nikmat mengamalkan solat dhuha. Ianya memang tidak dapat disangkal lagi. Yakin dan percayalah, rezeki itu sumbernya dari Allah, ianya bukan semata-mata disebabkan usaha dan kepintaran kita. Betapa ramai orang yang berusaha kerasa dan bekerja dari pagi hingga ke malam, tetapi rezekinya masih terasa sempit. Jadi, cubalah ubah sedikit cara kita berusaha mencari rezeki.
Jadikan solat dhuha sebagai amalan. Ianya boleh dilakukan sekitar waktu 8.30 pagi hinggalah kepada 11.30 pagi. Cuba cari masa untuk melakukannya. Insyallah segala usaha dan iktiar akan menjadi lebih mudah dan rezeki yang datang adalah melimpah ruah.
4.Banyakkan Berzikir
"Subhanllah. Alhamdulillah. Allahhu Akbar."
Ianya adalah amalan yang paling mudah tetapi mempunyai ganjaran yang paling besar. Dengan berzikir, ianya akan mendekatkan hati kita kepada Allah, menjauhkan dukacita & kerisauan, dan sekaligus, akan menarik rezeki.
Berzikirlah pada setiap masa. Untuk berzikir, kita tidak perlu berwudhu, tidak perlu menadah tangan, tidak perlu membacanya dengan kuat... cukuplah hanya dengan melafazkannya di dalam hati. Ianya adalah amalan yang paling mudah tetapi paling besar ganjarannya. Rugilah orang-orang yang tidak mengamalkannya.
5. Berdoa
Amalan ini, sudah pastinya, semua orang pun tahu. Tetapi, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk meng"optimun"kan amalan doa ini agar ianya lebih mustajab dan mudah dimakbulkan Allah.
1. Fahami doa. Tidak perlu susah-susah untuk menghafal doa bahasa arab. Minta sahaja kepada Allah dengan bahasa ibunda kita. Ianya lebih mudah untuk dijiwai.
2. Lakukan pada waktu & tempat yang mustajab. Antaranya..
- pada waktu pagi selepas solat subuh.
- antara dua khutbah.
- waktu hujan turun
- sewaktu sujud
- sewaktu ditimpa kesulitan
- selepas solat fardhu
- antara azan dan iqamat
- sewaktu menziarahi makam rasullullah
6. Mendoakan Orang Lain
Redha Allah bersama redha ibu bapa. Antara doa yang mustajab adalah doa ibu bapa kepada anaknya. Doa anak kepada ibu bapanya.
“Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” Hadis Riwayat Muslim.Jika kita mahu murah rezeki, doakanlah juga orang lain untuk dimurahkan rezeki. Jika kita mahu perniagaan kita laris dan menguntungkan, doakan juga perniagaan orang lain turut sama maju dan berhasil.
Orang lain itu boleh jadi, adik beradik, pekerja, majikan, sahabat, saudara mara, jiran atau sesiapa sahaja orang yang kita kenali dan kasihi.
7. Banyakkan Bersedekah
Setiap 1 yang anda sedekahkan, ianya akan dibalas dengan 10 kali ganda. Sedekah ini fadilat utamanya ada tiga iaitu murah rezeki, dapat menolak bala dan panjang umur.
Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah SWT buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah SWT membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah SWT menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.
Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan.
8. Mengamalkan Ayat Al-Quran
Terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran yang boleh dibaca dan dijadikan amalan harian, antaranya seperti surah yasin, surah waqiah, surah ali imran (ayat 26&27), surah al-Maidah (ayat114) dan banyak lagi.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas, Rasullullah bersabda..
“Surah Al-Waqi'ah adalah surah kekayaan. Hendaklah kamu membacanya dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu.” (Riwayat Ibn Mardawaih daripada Anas: Kasyf al-Khafa’).
9. Bangun Awal Pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan murah rezeki.
10. Bersyukur
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah SWT berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi:"… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)
11. Berusaha Dan Berikhtiar Sehabis Baik
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah SWT berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah SWT beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
Amalkanlah 11 amalan ini, nescaya rezeki yang diberkati Allah akan datang melimpah ruah tanpa disangka-sangka. Sesungguhnya Allah itu maha pemurah dan maha mengasihani.
No comments :
Post a Comment