Thursday, 14 June 2012

Sepuluh Ceritera Menjelang Ramadhan



SATU

“Kita nak sambut raya pulakah ummi…?” 

Suara anak kecil itu meminta kepastian daripada ibunya mengenai kedatangan Aidilfitri. Senyuman si ibu sambil membelek-belek kain-kain yang bakal dijadikan baju raya untuk anak-anak sudah menjadi jawapan. 

“Tapi…, sebelum raya kena puasa dulukan? Tak bestlah ummi..!” 

Begitulah anak kecil. Kalau boleh biarlah Ramadhan tidak muncul dan yang muncul hanyalah Syawal. Hari raya adalah segala-galanya bagi mereka, baju baru, duit raya, kueh raya, balik rumah opah dan banyak lagi.

Adakah kita yang sudah bukan anak kecil ini begitu juga? 

Dilaporkan bahawa Umar bin al-Khattab berkata pada penghujung Syaaban, “Selamat datang wahai pembersih diri kami daripada dosa…”
* * * * * 

DUA

Menjelang petang, tumpuan orang ramai adalah pasar Ramadhan. Semua jari tangan tergantung karung-karung berisi makanan dan minuman. Pada pandangan mata, semuanya sedap dan terasa tidak mencukupi. 

“Besok kita nak berbuka dengan apa pula ya…?” 

Tanya isteri ketika waktu Maghrib sudah semakin masak. 

“Ha, kalau ada…. tentu sedap”. 

Suami pula seperti belum mahu berganjak dari meja makan.

Patutkah sikap begini diteruskan?

Diriwayatkan bahawa, Abdullah bin Umar tidak pernah berbuka puasa kecuali bersama fakir miskin. Apabila ada orang yang meminta makanan daripadanya, beliau memberikannya. Beliau makan apa sahaja yang ada sehingga ada ketikanya beliau berpuasa dalam keadaan tidak makan apa-apa pada malamnya.
* * * * *

TIGA

“Masjid kampong kita imam baca panjang atau pendek…?”

Sambil menyelak helaian akhbar harian, dia bertanya rakannya.

“Entah, aku sembahyang di masjid hujung sana. Setengah jam siap semua. Nak ikut… boleh!”

Ada orang menghabiskan malam-malam Ramadhan dengan bersembang kosong bersama rakan-rakan di ‘port-port’ yang terpilih. Siangnya pula, dihabiskan dengan tidur. Malam sembang, siang tidur. 

Bagi yang bekerja, waktu-waktu senggang dihabiskan dengan berbual kosong. Lebih teruk lagi kalau ‘makan daging saudara sendiri yang telah mati’.

Adakah itu sudah menjadi tradisi?

Dilaporkan, apabila menjelang Ramadhan, Imam Malik menutup kitab-kitabnya dan tidak lagi berfatwa. Beliau memberikan sepenuh tumpuan kepada al-Quran. Ibnu Hajar menceritakan, Imam Syafie menghatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak enam puluh kali. Begitu juga dilaporkan bahawa, al-Bukhari mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga puluh kali. Pada bulan biasa, Imam Ahmad mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu. Menjelang Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran dua kali seminggu.
* * * * *

EMPAT

“Akulah tuhan kamu yang maha tinggi…” 

Bentak Firaun kepada para pengikutnya. Mereka dipaksa menyembahnya. Orang yang melawan akan dihukum bunuh.

Perasaan rendah diri terhasil dengan kelaparan. Orang yang tidak pernah lapar, sukar merendah diri. Orang yang sentiasa kenyang sukar memahami makna kesusahan. 

Setahun sekali, kita memasuki sekolah latihan merendah diri, sekolah Ramadhan. Inilah sekolah yang diasaskan oleh Islam yang telah melahirkan mereka yang menguasai dunia dengan kekuatan sifat rendah diri, bukan dengan kekuatan kesombongan.

Bukankah Firaun dimusnahkan selepas dia mempromosikan kesombongannya di hadapan nabi Musa?

Dilaporkan, Umar bin Abdul Aziz mendapat berita bahawa anaknya telah membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham. Beliau menulis sepucuk surat kepada anaknya, “Aku mendapat berita bahawa kamu membeli sebentuk cincin berharga seribu dirham. Apabila sampai kepadamu suratku ini, kamu hendaklah menjual cincin itu. Belanjakan wang itu untuk membeli makanan kepada seribu orang yang kelaparan. Belilah cincin besi yang berharga dua dirham sahaja dan ukir di atasnya ungkapan ini, Allah merahmati seseorang yang mengetahui kedudukan dirinya.”
* * * * *

LIMA

“Banyak borong…!” 

Sapa seorang wanita kepada temannya. 

“Oh…, semua ni bahan untuk buat kueh raya. Raya dah dekat, entah sempat entah tidak…”. 

Semakin dekat dengan hari raya, malam-malam Ramadahan juga semakin meriah. Sebahagian orang memeriahkannya dengan acara menyediakan kueh raya. Tidak kurang juga yang memeriahkannya dengan peningkatan ibadah kepada Yang Maha Berkuasa.

Dengan apakah sepatutnya malam-malam terakhir Ramadhan diisi?

As-Sa’ib Ibnu Yazid melaporkan, Umar bin al-Khattab mengarahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim ad-Dariy supaya mengimamkan orang ramai dalam solat pada bulan Ramadhan. Mereka membaca surah-surah yang panjang sehingga kami perlu bertopangkan tongkat untuk berdiri kerana terlalu panjang. Kami tidak berhenti bersolat sehingga hampir-hampir fajar.”

Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq meriwayatkan, bapaku berkata, “Kami hanya berhenti beribadat pada bulan Ramadhan ketika para khadam terpaksa bergegas-gegas menyediakan makanan untuk bersahur kerana bimbangkan kemunculan fajar.”
* * * * *

ENAM

“Tak laratlah nak berdiri lama-lama…! Buat pendek-pendek sudahlah”. 

Getus seorang lelaki separuh umur sambil menyarung selipar.

“Kita dah tua, mana larat nak buat panjang-panjang…!” 

Besoknya, dia menyambung cerita bila ditanya sebab dia terlalu awal meninggalkan solat terawikh di surau.

Bolehkah faktor usia dijadikan alasan untuk mengurangkan ibadah?

Dilaporkan oleh Asma’ bin Ubaid, beliau bersama Said bin Amir masuk menemui Abi Raja’ al-A’taridiy yang berusia 130 tahun. Beliau berkata, “Mereka menemuiku, mengangkatku kerana badanku yang kurus dan meletakkanku di tempat imam. Aku bacakan di dalam solatku bersama mereka pada bulan Ramadhan, setiap rakaat tiga puluh atau empat puluh ayat.
Bahkan diceritakan, Abu Raja’ mengkhatamkan al-Quran di dalam solat pada bulan Ramadhan setiap sepuluh malam.
* * * * *

TUJUH

Tidur pada siang hari pada bulan Ramadhan dikira ibadat khususnya kepada mereka yang puasanya terdedah kepada kerosakan jika dia berjaga. 

Tapi ada juga orang yang menghabiskan siang dengan tidur dengan alasan letih berpuasa. Justeru, dia akan terlepas peluang untuk meningkatkan ibadah khusus kerana ‘ibadah’ tidur.

“Huh… panas betullah hari ini. Nak minum pun tak boleh…” 

Ada orang merungut begitu.

Betulkah puasa menghalang tugas?

Peperangan Mu’tah berlaku pada bulan Jamadil Awal. Ibnu Kathir melaporkan, Abdullah bin Rawahah mengetuai peperangan Mu’tah dalam keadaan berpuasa. 

Abdullah bin Rawahah berkata, “Bawakan kepadaku seketul tulang. Aku ingin ikatkan diperutku untuk menahan lapar”.

Selepas itu, beliau diberikan sepotong daging. Sambil memandang matahari, beliau bertanya, “Adakah matahari sudah terbenam?” 

Beliau berbuka puasa di atas belakang kuda, mengetuai peperangan besar dalam keadaan nyawa berada di hujung pedang.

Beliau adalah pemimpin ketiga yang syahid dalam medan peperangan itu selepas Zaid bin Harithah dan Jaafar bin Abi Talib.
* * * * *

LAPAN

Gastrik, penyakit yang menjadi alasan sebahagian orang untuk meninggalkan puasa Ramadhan. 

“Aku bukan tak nak puasa, tapi aku tak boleh lapar. Aku ada penyakit…!” 

Kalau betul, orang itu tetap terikat dengan hukum meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit. Kalau dia berbohong, dia berdosa kerana berbohong dan berdosa kerana meninggalkan perkara fardu.

Sanggupkah kita mensia-siakan anugerah Ramadhan yang sangat berharga itu?

Dilaporkan, seorang pemimpin dalam kerajaan Umawi bernama Rauh bin Zanba’ dalam perjalanan melalui padang pasir untuk menunaikan umrah. Ditengah-tengah perjalanan, beliau bertemu seorang arab badwi yang sedang mengembala kambing.

“Wahai A’raby, mari ke sini makan bersamaku”, pelawa Rauh bin Zanba’.

“Ada orang lain yang lebih mulia daripada kamu mempelawaku”,jawab arab badwi itu.

“Siapa?” Rauh memohon kepastian.

“Allah, Tuhan semesta alam”, tegas arab badwi itu.

“Macam mana?” Rauh kehairanan.

“Aku sedang berpuasa dan aku hanya berbuka untuk-Nya sahaja”,jawab arab badwi itu.

“Tidak mengapa. Kamu berbuka sekarang, besok kamu berpuasalah lagi”, desak Rauh.

“Adakah kamu boleh menjamin bahawa besok aku akan hidup lagi?” soal arab badwi itu.

“Kamu mengambil berat terhadap hari-hari kamu, sedangkan kami pula mensia-siakannya”, jawab Rauh dengan tersedu-sedan.
* * * * *

SEMBILAN

“Ya Rasulallah, pakaian ini hamba jahitkan khusus untuk tuan. Terimalah…”.

Wanita ini begitu teruja menghadiahkan sehelai pakaian jahitan tangannya sendiri untuk insan yang paling disayanginya. Dirinya seakan-akan melayang ke langit apabila pakaian itu diterima dan dipakai oleh baginda, makhluk paling agung di dunia dan di akhirat. 

“Ya Rasulallah, berikan pakaian itu kepadaku…”

Rasulullah saw memasuki rumah baginda, menanggalkan pakaian yang dihadiahkan oleh wanita tadi dan memberinya kepada lelaki yang meminta itu.

“Apa yang kamu buat ni…? Rasulullah telah memakai pakaian itu, baginda memerlukannya. Mentang-mentanglah kamu tahu baginda tidak pernah mengecewakan orang yang meminta, kamu memintanya daripada baginda?”

Para sahabat melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap lelaki itu. Mereka tahu, mintalah apa sahaja daripada nabi, baginda akan memberinya. Baginda sangat pemurah melebihi angin yang berhembus.

“Demi Allah, aku tidak memintanya daripada baginda kecuali pakaian ini akan aku jadikan kafanku”.

Benar, pada hari kematiannya, lelaki itu dikafankan dengan kain yang pernah menyentuh tubuh baginda yang mulia. Alangkah beruntungnya lelaki itu.

* * * * *
SEPULUH

Ingin sekali perkara itu ditanyakan kepada bondanya, namun dibimbangi bondanya berkecil hati. Beliau faham, bagi bonda, walau pun seperit mana kehidupan yang ditempuh bersama buya, bonda sangat berbangga kerana buya hidup sebagai pejuang. 

Tiada sesaat pun hidup buya, tiada sekalimat yang terpancar dari mulut buya, tiada selangkah buya bergerak kecuali semuanya demi perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah.

“Bonda, mengapa jari telunjuk buya bergerak-gerak sepanjang masa? Buya seperti menulis sesuatu. Apakah masalah buya?”

Akhirnya, setelah kewafatan Buya Hamka, si anak tidak dapat menahan lagi gejolak jiwanya. Akhirnya soalan itu terpacul jua dari bibirnya.

“Anakku, buyamu menulis kalimah Allah dengan jarinya. Itulah zikirnya sepanjang hayatnya”.

No comments :

Post a Comment