Saturday, 13 August 2011

Nasihatilah Pemberi Bukan Peminta


Apa tujuan kenyataan ini? Melepaskan tanggungjawab atau mengelak daripada berdepan dengan tuntutan hak? Kedua-duanya adalah mungkin. Apabila berkurangan atau tidak ada orang yang meminta-minta, maka ringanlah beban pihak berkuasa untuk berusaha melepaskan keperluan orang yang meminta itu.

Secara asasnya meminta-minta memang tidak digalakkan oleh Islam. Perbuatan itu menjatuhkan maruah dan harga diri. Apatah lagi jika orang itu meneruskan kehidupan hanya dengan meminta-minta sahaja. Dia tidak punya usaha lain, usahanya ialah meminta-minta.

Tidak ada sesuatu pun yang dilarang secara mutlak. Daging babi pun ada ketikanya boleh dimakan. Membunuh juga jika kena masa dan sebabnya adalah dibenarkan. Begitu juga dengan meminta-minta. Jika kena cara dan masanya, bukan sekadar dibenarkan bahkan diwajibkan.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis, daripada Samurah bin Jundub, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya meminta-minta itu sesuatu yang mencemarkan wajah (harga diri seseorang) kecuali dia meminta DARIPADA PIHAK BERKUASA atau meminta perkara yang tidak dapat dielak (Hadis riwayat at-Tirmizi, bil 617, Maktabah Syamilah)

Jika nasihat menteri berkenaan adalah untuk melarang orang Islam meminta-minta daripada pihak berkuasa, tentu larangan itu kurang tepat. Harta yang dipegang oleh pihak berkuasa adalah harta rakyat. Tentu wajar rakyat meminta kembali harta yang dipegang oleh mereka itu.

Apatah lagi jika rakyat tidak diberikan hak mereka yang sepatutnya dan pihak berkuasa pula tidak bersungguh-sungguh membantu. Apa yang jelas kini, jika rakyat tidak meminta-minta maka mereka tidak akan mendapat hak mereka.

Dalam situasi sebegini meminta-minta bukan lagi terlarang tetapi adalah dituntut. Meminta-minta dalam situasi sebegini tidak menjatuhkan air muka kerana yang diminta adalah hak orang yang berhak. Bahkan, sikap tidak meminta dan menuntut dikira sikap yang tercela.

Biasanya, tidak ada wang zakat yang akan sampai ke tangan orang yang berhak jika orang yang berhak tidak memintanya. Kalau ada yang sampai ke tangannya, itu bukan kerana usaha pihak berkuasa mencarinya tetapi usaha pihak lain yang simpati kepada orang yang berhak itu. Inilah apa yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Oleh itu, dalam konteks sekarang, meminta adalah dituntut kerana apa yang diminta itu adalah hak.

Adakah orang yang meminta-minta dikira tamak dan boros? Tuduhan ini melulu dan melampau. Kecuali sebahagian kecil, rakyat Malaysia boleh dikira hidup cukup makan sahaja. Tidak ada peluang untuk boros apatah lagi bermewah-mewah. Imej mewah hanya terserlah di kalangan mereka yang berkuasa sahaja bukan di kalangan rakyat yang meminta-minta.

Justeru, jika nasihat meminta-minta bertujuan untuk meredakan kebangkitan rakyat menuntut hak mereka, maka nasihat itu wajib dilanggar.

No comments :

Post a Comment