Wednesday 8 June 2016

Rambut Cik Abang Cepat Gugur? Cuba Rawat Dengan Minum Kopi

Berapa banyakkah manfaat yang boleh didapati seseorang lelaki daripada kafein? Terlalu banyak, kata seorang saintis Jerman.

Hasil kajian yang beliau lakukan dengan kerjasama institut penyelidikan dan klinik Jerman mendapati minuman penyegar tubuh itu juga mampu mencegah keguguran rambut dalam kalangan lelaki.

Dr Adolf Klenk, ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Dr Kurt Wolff, berkata kajian itu menunjukkan bukti bahawa apabila kafein menembusi jauh ke dalam umbi rambut, ia akan melindungi rambut daripada kesan negatif testosteron dan keguguran rambut secara pramatang.



"Kami mencipta syampu daripada sari kafein, yang menghasilkan tenaga diperlukan dalam fasa pertumbuhan rambut serta mampu bertindak balas terhadap kesan testosteron yang menyebabkan botak," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata rawatan ini tidak begitu berkesan bagi tujuan pemulihan, tetapi lebih kepada pencegahan.

"Orang muda patut mendapatkan rawatan pencegahan ini apabila mula mencapai usia baligh, terutama yang mempunyai sejarah genetik...ini boleh dipastikan berdasarkan sejarah keadaan rambut bapa dan datuknya," kata beliau.

Dr Klenk berkata meminum kopi tidak memberi kesan sama kerana dos kafein yang diperlukan untuk sampai ke umbi rambut ialah kira-kira 40 hingga 50 cawan minuman kopi dan ia dengan cepat terlarut serta dikumuhkan oleh tubuh.

Saintis ini berada di Kuala Lumpur baru-baru in untuk membentangkan hasil penyelidikan printisnya tentang kesan kafein terhadap kehilangan rambut dan beliau menjelajah ke seluruh dunia untuk berkongsi penemuannya tentang perkara itu.


No comments :

Post a Comment