Monday 24 August 2015

Siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’?

Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009 melalui ‘pintu belakang’.





Berita tentang pemimpin UMNO/BN menghasut ahli-ahli partinya untuk tidak melawan ‘kerajaan’ telah menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Istilah ‘pintu belakang’ untuk menggulingkan kerajaan menjadi senjata utama pemimpin UMNO/BN menanam rasa takut dan gelisah dalam ahli partinya sendiri. Namun, kenyataan pemimpin UMNO ini meletakkan kesalahan besar menjatuhkan kerajaan sebenarnya mencerminkan kesempitan pengetahuan dan pemikiran mereka mengenai perbezaan antara ‘kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’ dalam sistem demokrasi berparlimen.

Definisi ‘kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’


‘Kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’ merupakan dua istilah yang berbeza dari segi maksudnya. Kerajaan merupakan sebuah badan yang mengawal dan mengurus pentadbiran negara. Terdapat tiga komponen utama dalam kerajaan sesebuah negara demokratik iaitu badan perundangan (Parlimen), badan eksekutif (Perdana Menteri dan Menteri Kabinet) dan badan kehakiman. Ketiga-tiga komponen ini melambangkan kerajaan sesebuah negara dan bukan hanya pihak eksekutif sahaja.

Maksud ‘parti pemerintah’ dalam sistem demokrasi berparlimen ialah parti yang memenangi pilihan raya dengan majoriti kerusi di parlimen. Parti yang mempunyai majoriti kerusi ini boleh membentuk sebuah kabinet untuk mengambil alih kuasa eksekutif. Mereka hanya mewakili kerajaan dalam urusan ‘eksekutif’ dan sebahagian ‘legislatif’ kerana mereka bertanggungjawab kepada parlimen. Parti pemerintah tidak semestinya kekal sebagai badan eksekutif sekiranya parti yang sedang memerintah kalah dalam pilihan raya atau dengan undi tidak percaya di parlimen.

Perkara ini bermaksud rakyat mempunyai hak untuk menukar ‘parti yang memerintah kerajaan’ dan kerajaan Malaysia ditadbir oleh parti yang lain. Kesimpulannya, kerajaan Malaysia akan tetap ada, cuma aktor dan pemimpinnya boleh berubah mengikut parti. Jelas menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan merupakan satu perkara yang biasa dalam sistem demokrasi berparlimen dan berlaku dibeberapa buah negara seperti Britain, Australia dan Kanada. Tetapi di Malaysia dianggap ‘salah’ dan berdosa untuk guna pintu belakang. Persoalannya siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’ untuk menjatuhkan kerajaan dalam politik Malaysia?

UMNO/BN pernah guna ‘pintu belakang’


Konsep yang dibawa oleh pemimpin UMNO/BN ini sebenarnya telah jauh lari daripada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Pemimpin BN hanyalah parti pemerintah yang kini menguruskan hal ehwal pentadbiran negara dan rakyat. Badan eksekutif ini bukan sebuah badan yang tertinggi dalam kerajaan Malaysia kerana terdapat badan perundangan dan kehakiman yang akan menyemak, meneliti dan mengimbangi pengurusan badan eksekutif.

Pertukaran parti pemerintah ini pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri seperti di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, dan Terengganu. UMNO/BN sendiri pernah menjatuhkan kerajaan negeri menggunakan ‘pintu belakang’. Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009. Perkara tersebut dibuat sendiri oleh Najib Razak yang menggantikan Tajol Rosli sebagai Ketua UMNO Perak semata-mata untuk menumbangkan kerajaan negeri Perak melalui ‘pintu belakang’.

Lebih meragukan lagi apabila dua pemimpin PKR yang mempunyai kes rasuah dengan mahkamah ketika itu iaitu Jamaluddin Mat Razi dan Osman Mohd Jailu mengumumkan keluar parti. Mereka berdua mengishtiharkan diri mereka menjadi ADUN bebas dan kemudian menyokong BN. Jangan mudah terpedaya dengan pemimpin UMNO/BN. Mereka sebenarnya yang pakar pakai ‘pintu belakang’!

Undurlah Najib Razak dan UMNO


Perkara penting yang rakyat Malaysia mahukan ialah insan bernama Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Peletakan jawatan ini tidak mungkin akan memecah-belahkan rakyat Malaysia. Tun Abdullah Badawi pernah meletakkan jawatannya tanpa berlaku perkara yang memudaratkan rakyat dan negara. Jadi kenapa Najib Razak tidak boleh membuat perkara sedemikian?

Najib Razak dan rakan-rakan menterinya hanya mendapat sokongan daripada ahli UMNO dan komponen parti BN, bukan rakyat Malaysia! Jika Najib Razak dan ahli UMNO berikrar untuk taat setia kepada parti, rakyat Malaysia pula bersumpah taat setia kepada tanah air untuk mempertahankan negara daripada mereka yang cuba merompak harta negara dan memiskinkan rakyat. Hanya ahli UMNO/BN yang takut untuk berubah dan berhijrah, tetapi bukan rakyat Malaysia!

Kerajaan Malaysia masih ada dan wujud sekiranya UMNO/BN tidak menjadi parti pemerintah. Rakyat Malaysia akan terus hidup seperti biasa walaupun BN tidak lagi menjadi parti pemerintah. Mungkin, penyingkiran UMNO/BN ini lebih membawa makna kepada rakyat dan negara merasai pentadbiran baharu dibawah parti yang berbeza. Cukuplah hampir 58 tahun memerintah negara. Tiba masanya untuk UMNO/BN berehat dan mengambil pencen awal sebelum dipecat oleh rakyat sendiri!

No comments :

Post a Comment