Wednesday 19 August 2015

Kenapa lambat siasat ‘orang tua misteri’, guling kerajaan? – PAS

Mereka yang dituduh seharusnya disiasat mengikut Seksyen 124B kerana boleh memudaratkan demokrasi berparlimen Malaysia.




Pas mempersoalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersikap hipokrit dan lembap kerana lambat menyiasat dakwaan 20 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan ‘orang tua’ misteri yang didakwa mempunyai kaitan rapat dengan komplot menggulingkan kerajaan. 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka yang dituduh seharusnya disiasat mengikut seksyen 124B kerana boleh memudaratkan demokrasi berparlimen Malaysia. 

“Mengapa Ketua Polis Negara masih tidak bertindak menyiasat Ahli Parlimen BN dan “orang tua misteri” yang didakwa terlibat dengan komplot menggulingkan Perdana Menteri mengikut Seksyen 124B (memudaratkan demokrasi berparlimen) Malaysia? 

“Mengapa masih tiada tindakan membeku Ahli Parlimen BN dan “orang tua misteri” daripada keluar negara seperti yang dilakukan terhadap beberapa Ahli Parlimen Pembangkang dan pemimpin NGO sebelum ini?,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

Beliau juga menyifatkan pihak polis sebagai ‘hipokrit’ apabila tidak mengambil tindakan segera apabila berlakunya sesuatu pertuduhan seperti yang dilakukan terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). 

“Mengapa polis tiba-tiba menjadi lambat bertindak?. Bukankah itu satu hipokrisi?,” soalnya. 


Tuan Ibrahim berkata, polis tidak sepatutnya berat sebelah dengan melakukan tindakan keras kepada penganjur Bersih 4.0 mengikut Seksyen 124B kerana ia akan mencemarkan imej polis di mata rakyat. 

“Polis sepatutnya menahan menteri BN yang cuba menipu rakyat kerana mahu menggulingkan Perdana Menteri dan jawapan-jawapan tidak masuk akal yang dikemukakan oleh pemimpin BN mengenai derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri, ” katanya. 

Pada masa sama, beliau mengulangi pendirian Pas akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya ia dilakukan seperti yang ditegaskan Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali.

No comments :

Post a Comment