Tuesday 9 September 2014

Bekam wajah naik seri

Dahi dan dagu antara tempat yang dibekam 
untuk mengeluarkan darah kotor.

BEKAM atau dalam istilah bahasa Arabnya, al-Hijamah adalah ilmu perubatan warisan Nabi yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya sehingga hari ini.

Ia juga adalah salah satu cara menyahtoksid (buang racun) yang sesuai dan selamat bagi umat Islam tanpa kesan sampingan yang ketara.

Lazimnya bekam yang sering dilakukan ialah bekam cawan atau basah, bekam angin atau kering, bekam tarik dan bekam lintah tetapi hari ini dengan keperluan serta permintaan yang ada, orang ramai terutamanya wanita boleh membuat bekam wajah.

Masih menggunakan kaedah yang sama, bekam wajah juga mempunyai objektif yang sama dengan bekam badan iaitu membuang darah kotor untuk tujuan perubatan dan juga untuk mengekalkan kesihatan.

Bagaimanapun, tidak semua orang mampu menawarkan perkhidmatan ini kerana tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan rawatan ini di bahagian muka.

Begitupun, bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bekam wajah, anda boleh mengunjungi Yoyoy Kamphora Spa yang terletak di No. 319A, Melawati Square, Lorong Kedah, Kuala Lumpur.

Merupakan salah satu perkhidmatan kecantikan yang ditawarkan di sini, pemiliknya, Siti Nurul Huda Saparudin, 30, sanggup belajar dan mendalami ilmu bekam wajah ini daripada mereka yang cukup berpengalaman dan berpengetahuan luas.

Mengakui antara rawatan yang mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggannya, Siti Nurul Huda memberitahu rawatan tersebut tidak lama di mana cuma mengambil masa selama 45 minit.

“Perkhidmatan bekam wajah ini sememangnya ditawarkan sejak spa ini mula beroperasi pada 16 April 2008.

“Walaupun rawatan bekam muka ini tidak begitu popular jika hendak dibandingkan dengan rawatan bekam badan, tetapi bagus untuk mereka yang mempunyai masalah migrain, resdung, sakit kepala, kulit kusam, dan jerawat.

“Keunikan bekam wajah ini ialah ia dihala terus ke bahagian muka yang mempunyai masalah dan darah kotor," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak meninggalkan sebarang parut pada wajah selepas proses pengeluaran darah kotor, Siti Nurul Huda menjelaskan kesannya boleh dirasai sebaik sahaja selesai menjalani rawatan tersebut.

Bercerita pula mengenai cara rawatan diadakan, dia menjelaskan pelanggan terlebih dahulu akan melalui sesi urutan pada bahagian leher, bahu, dan kepala dengan menggunakan minyak zaitun bagi melancarkan peredaran darah sebelum diteruskan dengan bekam angin terlebih dahulu.

Bekam angin yang dilakukan cuma sekitar 10 saat dan diteruskan dengan bekam muka yang cuma mengambil masa satu minit.

“Bekam muka selalunya tidak mengambil masa yang lama kerana takut nanti muka berbekas tetapi selalunya bekas yang tertinggal akan hilang cepat.

“Selalunya bekam muka ini akan ditumpukan pada bahagian dahi, dagu, kedua-dua belah pipi, dan kedua-dua belah bahagian kepala di tepi mata.

“Dan rawatan ini akan menggunakan cawan kecil yang sesuai dengan bahagian muka," ujarnya lanjut.

Sambungnya lagi, jumlah cawan bekam yang digunakan bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap kesihatan pelanggan dan minimum penggunaan cawan ialah dua dan maksimum ialah 10.

Memberitahu seelok-eloknya dilakukan sebulan sekali bagi mereka yang tidak mengalami masalah yang teruk, Siti Nurul Huda menjelaskan bekam muka ini selain bagus untuk kesihatan, juga dapat membantu menaikkan seri wajah terutamanya pada bakal pengantin.

“Ada juga pelanggan yang mempunyai masalah jerawat yang teruk mencuba rawatan bekam wajah ini dan alhamdulillah masalah jerawatnya berkurangan selepas menjalani dua sesi rawatan.

“Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan masalah di muka dan kepala," katanya.

Beritahunya lagi, pelanggan akan dikenakan bayaran RM100 bagi keseluruhan pakej bekam wajah itu dan digalakkan membuat temu janji terlebih dahulu.

Spa yang dikhususkan hanya untuk wanita ini turut menyediakan perkhidmatan rawatan urutan tradisional, pakej rawatan untuk ratu sehari, aroma terapi, refleksologi, sauna, akupuntur serta rawatan kuku tangan dan kaki.

Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang www.YoyoySpa.com atau hubungi talian 03-6184 1455.

No comments :

Post a Comment