Thursday 14 August 2014

Soalan-soalan 'bocor' Konsensus Nasional dan Kajang Move

Oleh: Dr Mohd Zuhdi Marzuki


Saya menerima dan memperolehi maklumat-maklumat dari pelbagai sumber tentang Konsensus Nasional dan Kajang Move ini, justeru saya memohon kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk menjelaskan ketidakpastian berikut:


1. Benarkah seawal beberapa hari lepas PRU ke 13, Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah menggerakkan satu langkah untuk mewujudkan satu kerajaan 'Konsensus Nasional' dengan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Dato Seri Mohammad Najib Tun Razak (DSNR).

Pencapaian buruk BN di bawah DSNR, telah menyebabkan dia berkemungkinan berhadapan dengan desakan-desakan dari dalam UMNO sendiri supaya beliau melepaskan jawatan sepertimana yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Benarkah setelah melihat kepada situasi tersebut, DSAI telah mengambil inisiatif mengusahakan perkara ini?

2. Benarkah Jusuf Kalla (sekarang Timbalan Presiden Indonesia) telah menjadi mediator antara DSAI dan DSNR untuk menjayakan langkah 'Konsensus Nasional' ini, dan beliau telah datang beberapa kali ke Malaysia untuk tujuan tersebut?

3. Benarkah halangan kepada langkah 'Konsensus Nasional' ini di dalam PR adalah PAS, yang tidak mahu usaha ini dilakukan kerana akan mengkhianati kepercayaan majoriti rakyat Malaysia (berdasarkan undi popular) terhadap parti-parti Pakatan Rakyat (PR)?

4. Benarkah satu usaha berterusan telah dilakukan untuk memujuk Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHA) bersetuju dengan Konsensus Nasional, setelah beliau dengan tegas menolaknya?

5. Benarkah TGHA telah diekori sampai ke London untuk dipertemukan dengan Dato Seri Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO) dengan perantaraan Saifuddin Nasution, agar mempersetujui Konsensus Nasional ini?

6. Benarkah halangan utama kepada langkah 'Konsensus Nasional' ini di dalam UMNO ialah Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri yang melihat langkah ini cuba memberi talian hayat kepada DSAI?

7. Benarkah perlantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam kanan terkemuka, mengendali kes liwat Saiful Bukhari adalah antara usaha yang 'luar biasa' untuk mensabitkan DSAI dan sekali gus menggagalkan langkah 'Konsensus Nasional' ini?

8. Benarkah DSAI telah menandatangani secara sebelah pihak satu dokumen yang memberikan butiran lanjut tentang pembentukan kerajaan 'Konsensus Nasional' ini?

9. Benarkah di dalam dokumen itu terkandung tawaran DSAI untuk mengembalikan Selangor kepada BN, dan beliau mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 dan beberapa lagi jawatan kabinet?

10. Benarkah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI), Menteri Besar yang diamanahkan sekarang, merupakan halangan utama kepada pelaksanaan kandungan dokumen ini khususnya yang berkaitan dengan Negeri Selangor?

11. Benarkah Kajang Move ini adalah langkah susulan untuk menjayakan Konsensus Nasional dengan menaikkan DSAI sebagai Menteri Besar Selangor yang baru seterusnya merealisasikan kandungan dokumen itu?

12. Benarkah kandungan kenyataan Rafizi Ramli di bawah ini tentang Kajang Move secara tersirat menggambarkan hubung kait antara Kajang Move dan Konsensus Nasional?

"It is an open secret that the move to remove Najib Razak has begun. As a party strategist, I cannot rule out the possibility that Najib is removed and Umno falls to the ultras led by Mahathir Mohamad’s faction".

Adalah menjadi satu rahsia terbuka bahawa gerakan untuk menjatuhkan Najib telah bermula. Sebagai seorang strategis parti (PKR), saya tidak menolak kemungkinan Najib disingkirkan dan UMNO akan jatuh ke tangan golongan melampau dari kumpulan Dr Mahathir Mohamad".

13. Benarkah Konsensus Nasional ini tergencat apabila DSAI disabitkan kes meliwat Saiful Bukhari oleh Mahkamah Rayuan beberapa hari sebelum penamaan calon PRK Kajang (Kajang Move), yang menyebabkan DSAI tidak layak menjadi calon?

14. Benarkah langkah 'Konsensus Nasional' tidak lagi berbangkit setelah kegagalan Kajang Move ini, walaupun PAS kemudiannya telah memberi persetujuan awal terhadap Konsensus Nasional yang diusahakan DSAI dengan syarat dijelaskan apakah butir-butir permuakatan yang diusulkan oleh DSNR?

15. Benarkah setelah kemenangan Jusuf Kalla baru-baru ini, ada usaha-usaha untuk menghidupkan semula Konsensus Nasional, ditambah dengan perbicaraan kes liwat DSAI di Mahkamah Persekutuan yang semakin hampir?

Saya memohon pihak-pihak berkaitan untuk memberikan jawapan-jawapan kepada perkara ini, supaya saya boleh membantu menjelaskan ketidakpastian yang ditimbulkan oleh kalangan rakyat yang bertanya.

* Dr Mohd Zuhdi Marzuki adalah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP)



No comments :

Post a Comment