Sunday 3 March 2013

Budak Lelaki 7 Tahun Selamba Teguk Arak

Meskipun baru berusia tujuh tahun, seorang kanak-kanak lelaki sudah pandai meneguk bir yang disimpan di dalam peti sejuk di rumah jirannya dalam kejadian di Damansara Damai, di sini.


Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang belajar di tahun satu itu dipercayai mengambil minuman berkenaan buat pertama kali kelmarin sebelum jirannya mengadu kepada ibu kanak-kanak lelaki itu.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kanak-kanak terbabit mengunjungi rumah jirannya itu untuk bermain seperti biasa manakala ibunya berada di rumah bersama seorang lagi anaknya.

“Ketika itu, ibu kanak-kanak itu didatangi jirannya yang mengadu anaknya membuka peti sejuk tanpa kebenaran dan lebih mengejutkan, dia meneguk bir yang disimpan di dalam peti sejuk berkenaan.

“Sejurus selepas itu, ibu kanak-kakak terbabit menyoal anaknya itu dan dia mengaku serta memberi alasan berbuat demikian kerana ingin mencuba air orang ‘dewasa’ itu,” katanya.

Menurutnya, ibu kanak-kanak berkenaan yang berang dengan tindakan itu merotan anaknya itu dengan wayar hingga menyebabkan kesan lebam di tangan, bahu dan belakang badan.

Katanya, selepas kanak-kanak itu pergi ke sekolah semalam, guru kelasnya yang ternampak kesan lebam di tangan kanak-kanak itu menyangka anak muridnya yang berusia tujuh tahun itu menjadi mangsa dera ibu sebelum membuat laporan polis.

“Selepas disoal siasat, akhirnya terbongkar kejadian kanak-kanak lelaki itu sebenarnya dihukum akibat tindakannya minum bir di rumah jiran sebelum diserahkan kepada guru kaunseling untuk tindakan lanjut,” katanya.

-HMetro

No comments :

Post a Comment