Sunday 25 November 2012

Anonymous Rekrut Penggodam Perangi Laman Web Pro-Israel

Kumpulan penggodam terkemuka, Anonymous sedang merekrut pakar komputer di seluruh dunia termasuk penggodam tempatan bagi meneruskan perang siber ke atas laman web pro-Israel yang dilancarkan minggu lalu.


Mereka menggelarkan operasi godam terbabit sebagai ‘OpIsrael’ dan bertindak sedemikan sebagai tindak balas serangan kejam Israel ke atas rakyat Palestin yang mengorbankan ratusan nyawa tidak berdosa.

Menurut seorang penggodam tempatan yang enggan dikenali, mereka berhubung dengan Anonymous sejak beberapa minggu lalu menerusi forum rahsia untuk berkongsi maklumat serta menerima latihan mengenai teknik menggodam yang sesuai.

“Menerusi forum berkenaan Anonymous membekalkan penggodam dengan perisian ‘Distributed Denial of Service’ atau DDoS, malware dan sebagainya untuk dijadikan ‘senjata’ bagi melumpuhkan laman pro-Israel, khususnya yang menggunakan domain ‘.il’,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya lagi kumpulan penggodam tempatan turut berhubung dengan penggodam dari Indonesia, Brunei dan Pakistan untuk merancang strategi terbaik melumpuhkan laman terbabit.

“Antara kaedah yang digunakan adalah menyerang dengan perisian DDoS sehingga laman berkenaan menjadi berat dan seterusnya memberi peluang kepada penggodam lain untuk ‘menyerang’ dan ‘menceroboh’ sistem laman terbabit,” ujarnya.

Menurutnya, taktik popular selain mencuri data adalah dengan mengubah suai rekaan laman terbabit atau lebih dikenali sebagai teknik ‘defacement’.

Bagaimanapun jelasnya kerajaan Israel sedang meningkatkan keselamatan pelayan laman web kerajaan untuk menghalang Anonymous daripada mengakses data sensitif khususnya membabitkan operasi ketenteraan.

-Hmetro

No comments :

Post a Comment